Kekurangan data ekonomi utama pada sesi dagangan Rabu dilihat menjadi faktor kepada pasaran mata wang gagal mempamerkan pergerakan lebih agresif.
Walaupun begitu, pelabur tampaknya bersiap sedia menantikan penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada Khamis, menyaksikan hasil perbendaharaan AS 10 tahun meningkat ke paras ketinggian dua tahun.
Bagaimanapun, lonjakan hasil bon gagal merangsang US dolar untuk turut mencatatkan peningkatan, sebaliknya raja mata wang itu didagangkan mendatar yang secara tidak langsung menunjukkan kewaspadaan pelabur menjelang data utama inflasi.
Federal Reserve (Fed) sememangnya sudah jelas mengatakan mengenai penetapan dasar seterusnya, di mana mereka bersedia untuk mempercepatkan kenaikan kadar faedah sekiranya inflasi terus meningkat.
Pada sesi Asia, mata wang euro bergerak seiring dengan dagangan US dolar yang mendatar, memperlihatkannya terus didagangkan di sekitar harga 1.1410.
Sementara pound sterling pula sedikit berubah di tengah ketidaktentuan politik di UK selepas Perdana Menteri Boris Johnson mengejutkan ramai pihak dengan merombak kabinetnya.
Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi terus diperdagangkan stabil selepas mencatat peningkatan sederhana pada awal minggu, sementara dolar loonie sedikit merosot disebabkan pengurangan harga minyak dunia yang kembali di bawah harga $90 setong.