Euro mengukuh di paras tertinggi satu bulan berbanding US dolar dengan sokongan daripada harapan yang meningkat terhadap perang di Ukraine yang mungkin akan menemui penyelesaian dan kelemahan USD.
Mata wang itu telah memperoleh keuntungan sekitar 1.7% pada minggu ini yang membawanya didagangkan kukuh pada paras harga 1.1175 berbanding dolar greenback pada sesi Asia.
Pada rundingan damai minggu ini di Istanbul, Rusia berkata ia akan mengurangkan operasi ketenteraannya berhampiran Kyiv dan bandar utara Chernihiv untuk membina kepercayaan walaupun Ukraine dan sekutu Baratnya melihatnya sebagai muslihat dan bersedia untuk serangan lain.
Oleh itu, Presiden Volodymyr Zelensky memberitahu bahawa tentera Ukraine sedang bersiap sedia untuk serangan baharu Rusia di timur negara itu.
Pengukuhan euro serta pemulihan singkat untuk yen Jepun dan kekuatan mata wang komoditi seperti dolar Aussie telah mendorong raja mata wang US dolar ke paras terendah tiga minggu.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback didagangkan susut pada sekitar harga 97.76 berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
US dolar terus susut lebih rendah selepas data pekerjaan ADP Amerika Syarikat menunjukkan bacaan yang menepati jangkaan dengan meningkat sebanyak 455,000 pada bulan Mac.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS juga menunjukkan bacaan meleset dari jangkaan pada suku terakhir 2021.
Sementara itu, mata wang pound pula kekal stabil pada sekitar harga 1.3100 berbanding USD selepas bangkit dari paras terendah sejak November 2020.