‘Ahli lembaga Twitter dah mula sejuk hati ke dengan Elon Musk ni?’
Ahli lembaga pengarah Twitter Inc berpakat menasihati kepada para pemegang saham syarikat untuk menerima bidaan pemerolehan $44 bilion oleh Elon Musk.
Perkara ini telah dilaporkan Anadolu Agency, menerusi pemfailan seorang ahli lembaga pengarah kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) yang menyatakan perjanjian penggabungan tersebut adalah adil terhadap kepentingan Twitter serta pemegang sahamnya.
Sebagai rekod, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk telah memperolehi sejumlah 9.2% kepentingan dalam Twitter sebelum melancarkan bidaan pemerolehan bernilai $44 terhadap syarikat tersebut.
Kemudian pada 25 April lalu, Twitter mengumumkan persetujuan terhadap biadaan Musk namun jutawan terkaya dunia itu menangguhkan pemerolehan pada 13 Mei ekoran masalah bot.
Menerusi ciapan di Twitter peribadinya, Musk menjelaskan penangguhan telah dibuat kerana beliau mendapati terdapat akaun spam/palsu yang melebihi 5% dalam aplikasi tersebut.
Pada sisi berbeza, Musk ketika ditemuramah pada acara forum ekonomi di Doha menyatakan masalah pengharaman aplikasi media sosial tersebut di China bukan isu tambahan terhadap penangguhannya.
Jelas Musk, beliau tidak merasakan operasi perniagaannya di China boleh menyebabkan masalah dalam mengambil alih Twitter.
Sebagai pengetahuan, Twitter secara rasminya telah diharamkan di China, namun negara itu menggunakannya bagi menyebarkan mesej ke luar negara dengan bantuan bot spam.
Dalam pada itu, saham Twitter ditutup pada $37.78 sebelum cuti umum lalu, penurunan 30% sejak penangguhan pemerolehan tersebut.