Malang bertimpa-timpa buat mata wang pound yang melanjutkan penurunan lebih rendah pada pembukaan dagangan awal minggu susulan pengumuman terbaharu Menteri Kewangan UK Kwasi Kwarteng pada Jumaat.
Setelah diperlihatkan dengan bacaan menyuramkan dalam data PMI pembuatan dan perkhidmatan, Kwasi Kwarteng menambah luka buat pound dengan melancarkan satu langkah rangsangan yang besar.
Ia termasuk pemotongan cukai dan langkah sokongan untuk isi rumah dan korporat serta pejabat hutang Britain membentangkan rancangan untuk terbitan tambahan £72 bilion dalam tahun kewangan ini bagi membiayai rangsangan itu.
Langkah ini menyusuli pakej sokongan tenaga yang dijanjikan Perdana Menteri Liz Truss yang akan menelan kos £60 bilion dalam tempoh 6 bulan.
https://soundcloud.com/intradaydotmy/usd-pacak-gbp-all-time-low?si=68808b61d0ec4b72aab3fd94de729456&utm_source=clipboard&utm_medium=text&utm_campaign=social_sharing
Dengan inflasi UK yang sedia melambung tinggi, pakej rangsangan ini dikhuatiri akan melonjakkan lagi tekanan harga di negara itu dan menyukarkan Bank of England (BOE) untuk bertindak.
Ekoran itu, mata wang pound terjun lebih rendah pada sesi Asia melihatkan pergerakan harga carta pasangan mata wang pound berbanding US dolar menjunam sekitar 500 pips, membawa harga menyentuh paras 1.0357.
Sementara itu, pelabur turut menyaksikan lonjakan lebih tinggi raja mata wang US dolar pada sesi Asia yang mencatat rekod baharu di paras tertinggi 20 tahun berbanding pesaing utama.
Indek dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback melonjak pada 114.50 pada awal sesi, sekali gus menekan kebanyakan mata wang utama lain lebih rendah.