Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken bahawa beliau percaya Rusia akan menyerang Ukraine sebelum malam ini berakhir (waktu AS) telah mencetuskan panik dalam pasaran pada sesi Asia.
Mata wang gergasi US dolar melonjak lebih tinggi susulan kenyataan tersebut memandangkan ia juga dianggap sebagai safe-haven dalam situasi ini.
Ukraine sebelum ini telah mengisytiharkan darurat bermula 24 Februari selama 30 hari ketika laporan risikan daripada Amerika menunjukkan Rusia mungkin akan menyerang dalam tempoh 48 jam akan datang.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy juga mendakwa bahawa sekitar 200,000 tentera Rusia telah berada berhampiran sempadannya. Seluruh anggota Pasukan Simpanan Tentera Ukraine berusia 18 hingga 60 tahun turut dilaporkan telah dipanggil untuk bertugas serta merta pada Rabu.
Selain itu, beberapa laman web kerajaan Ukraine berada di luar talian selepas serangan DDoS yang dipercayai dilakukan oleh Rusia.
Ekoran daripada itu, mata wang euro yang sebelum ini meraih pengukuhan susulan kenyataan hawkish penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB), kembali merosot ke paras terendah lebih dua minggu berbanding greenback.
Sementara mata wang safe-haven lain, yen dan swiss franc turut memaparkan peningkatan meskipun kenaikan yang dicatatkan agak terbatas disebabkan dolar greenback lebih kukuh.