Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov memberi amaran bahawa penglibatan NATO yang semakin meningkat dalam konfliknya dengan Ukraine membawa keadaan semakin hampir kepada perang dunia ketiga.
Bercakap kepada agensi berita Rusia pada Isnin, Lavrov mendakwa bahawa bantuan senjata oleh negara-negara Barat kepada Ukraine bermakna pakatan NATO pada dasarnya terlibat dalam peperangan dengan Rusia.
Oleh yang demikian, Moscow melihat senjata-senjata tersebut sebagai sasaran yang sah untuk tentera Rusia bertindak dalam konteks operasi khas.
Walaupun begitu, ketua diplomasi Rusia itu kemudiannya mengurangkan kemungkinan bahawa perang dunia ketiga akan berlaku kerana negara-negara Barat tidak akan membenarkan penempatan tentera mereka di Ukraine.
Ini secara tidak langsung akan menghalang sebarang peningkatan dalam ketegangan sehingga ke tahap penggunaan senjata nuklear.
Sementara itu, apabila bercakap mengenai rundingan damai Rusia dengan Ukraine, Lavrov mengkritik pendekatan Kiev dalam rundingan tersebut yang dilihat tidak membantu proses perbincangan.
Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa pihaknya akan terus terlibat dalam rundingan dengan pasukan yang diwakilkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.