‘Aduh, haritu gandum sekarang bijirin pula. Harapnya bekalan nasi tiada masalah.’
Isu rantaian makanan global kembali menghantui pasaran dengan penggantungan penyertaan Rusia dari Perjanjian Eksport Bijirin diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mencetus lonjakan harga.
Keputusan tersebut diumumkan Kementerian Pertahanan Rusia selepas Ukraine didapati terlibat dengan serangan dron ke atas bandar Crimea beberapa hari lepas.
Menurut kenyataan rasmi Moscow, penggantungan penyertaan dari perjanjian eksport bijirin dibuat selepas mengambil kira tindakan ganas rejim Kyiv dengan serangan dron mereka.
Selain itu, penglibatan Britain pada 29 Oktober terhadap Armada Laut Hitam dan kapal awam yang terlibat dalam keselamatan koridor bijirin telah membawa keputusan pengunduran selama ‘tempoh masa yang tidak ditentukan’.
Kerajaan Ukraine memberi respon terhadap penggantungan tersebut dengan mengatakan tindakan Rusia ‘memeras ugut’ ketenteraman dunia.
Jelas Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andrii Yermak, terdahulu Mocsow mengugut dunia dengan menyekat saluran tenaga dan ancaman nuklear tetapi kini dengan makanan pula.
Turut memberi maklum balas adalah United Kingdom (UK) yang menafikan penglibatannya bersama Ukraine dengan serangan dron ke atas Crimea dan menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai ‘dakwaan palsu skala epik’.
Dalam pada itu, Rusia dan Ukraine telah memeterai perjanjian yang mencipta laluan eksport selamat yang diuruskan UN bersama Turki pada Julai lalu.
Umum mengetahui bahawa Ukraine merupakan penerima utama bijiran Rusia dan perjanjian tersebut menuju ke tarikh pengakhirannya pada bulan depan.
Difahamkan bahawa pegawai-pegawai rasmi Moscow meragui penglibatan berterusan Rusia dalam perjanjian tersebut.