‘Sekali pandang macam ngam sebab untung, dua kali pandang naik bimbang kes makin melonjak.’
Kaunter penjagaan kesihatan di Bursa Malaysia terus menjadi perhatian pelabur semasa sesi dagangan Isnin dengan kebimbangan mengenai kes melibatkan jangkitan Covid-19 dilihat semakin meningkat.
Pada sesi dagangan pagi hari, pasaran sarung tangan getah merangkumi syarikat Top Glove Corp Bhd, Supermax Corp Bhd, Careplus Group Bhd, Kossan Rubber Industries Bhd dan Hartalega Holdings Bhd mendahului keuntungan pada indeks Healthcare Bursa, di mana ia mencanak 2.34% atau 46.67 pada 2,043.90 mata.
Top Glove naik 11 sen atau 6.59% pada RM1.78, Supermax capai 8 sen atau 7.55% pada RM1.14, Careplus lonjak 9.5 sen atau 16.38% pada 67.5 sen, Kossan tambah 8 sen atau 4.37% pada RM1.91 dan Hartalega mekar 28 sen atau 6.51% pada RM4.58.
Komponen saham lain di indeks Healthcare Bursa turut dilihat dalam peningkatan dengan Adventa Bhd capai 9.5 sen atau 11.18% pada 90 sen sementara Pharmaniaga Bhd naik 0.5 sen atau 0.68% pada 74 sen.
Dalam pada itu, laporan dari China menyatakan penemuan 1,807 kes baru Covid-19 yang bergejala pada Ahad.
Ia turut mencatat angka harian tertinggi dalam tempoh 2 tahun dan lebih 3 kali ganda berbanding hari sebelumnya ekoran jangkitan yang semakin meningkat di wilayah timur laut negara itu.
Selain itu, saham teknologi China memasuki sesi penjualan di Kong Kong pada Isnin apabila penutupan sempadan Shenzhen menambah duka pelabur terhadap risiko geopolitik dan kawal selia.