Pada jam 9 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.95 mata pada 1,554.36 daripada penutupan hari Rabu pada 1,553.41.
Indeks dibuka kukuh 1.31 mata pada 1,554.72.
Bursa membuat lantunan dari penutupan semalam untuk dibuka sedikit tinggi hari ini hasil dorongan pembelian baharu pada wajaran berat terpilih walaupun sentimen pasaran serantau lemah.
Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi pada 124 mengatasi kaunter untung pada 122, manakala 232 kaunter pula tidak berubah, 1,765 tidak didagangkan dan 17 digantung.
Jumlah perolehan pada 169.34 juta unit bernilai RM54.66 juta.
Nota Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan sungguh pun KLCI mengembalikan keuntungan, tekanan inflasi global yang akan melembabkan pemulihan ekonomi terus menjadi kebimbangan.
Ekoran itu, pelabur tempatan dilihat berdagang dengan berhati-hati ekoran penurunan semalaman di Wall Street dengan saham teknologi terpilih menjadi tumpuan kerana hasil suku tahunan yang kukuh.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) tambah 6 sen pada RM8.95, Public Bank Bhd naik 2 sen pada RM4.65, IHH Healthcare Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd capai 1 sen pada RM6.51 dan RM5.21 sementara Petronas Chemicals Group Bhd hilang 4 sen pada RM10.02.
Saham aktif memperlihatkan Sapura Energy Bhd susut 0.5 sen pada 6.5 sen, Dolphin International Bhd naik 1 sen pada 6.5 sen sementara Fast Energy Holdings Bhd, KNM Group Bhd dan Cypark Resources Bhd kekal pada 4.5 sen, 15 sen dan 39 sen.
Di papan indeks, FBM ACE memuncak 6.05 mata pada 5,189.70, indeks FBM Emas Shariah menurun 2.78 mata pada 11,410.72, indeks FBM Emas memacu 3.66 mata pada 11,074.55, indeks FBMT 100 mengumpul 5.48 mata pada 10,774.27 dan FBM 70 mencapai 2.19 mata pada 13,236.82.
Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan melemah 0.77 mata pada 199.89 sementara indeks Perladangan meningkat 27.09 mata pada 7,963.64 dan indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 26.20 mata pada 16,772.79.