Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengarahkan semua rakyatnya yang masih tinggal di Ukraine untuk keluar daripada negara itu secepat mungkin berikutan ancaman yang semakin meningkat dari ketenteraan Rusia.
Memetik kepada laporan NBC News, Biden menggesa supaya rakyatnya pergi dengan segera. Ini kerana, mereka bukan berurusan dengan organisasi pengganas tetapi berhadapan dengan salah satu tentera terbesar di dunia.
“Ia adalah situasi yang sangat berbeza, dan keadaan boleh menjadi ‘gila’ dengan cepat”, ujar Biden.
Dalam laporan berasingan pada Khamis, Jabatan Negara telah mengeluarkan amaran nasihat bahawa mereka tidak akan dapat membantu warga AS sekiranya Moscow menyerang Ukraine.
Rusia sebelum ini berulang kali menafikan sebarang rancangan untuk menyerang Ukraine walaupun telah mengumpulkan lebih 100,000 tenteranya di sepanjang sempadan negara itu.
Namun dalam perkembangan terbaharu, Rusia dilihat telah memulakan latihan ketenteraan besar-besaran dengan negara jiran, Belarus.
Rusia dan Ukraine mengumumkan pada hari Khamis bahawa mereka gagal mencapai kesepakatan setelah seharian berunding dengan pegawai-pegawai Perancis dan Jerman yang bertujuan untuk menamatkan krisis antara kedua pihak.