Beberapa syarikat tenaga terbesar di Eropah dilaporkan sedang membuat pengaturan untuk mematuhi sistem pembayaran baharu bagi gas Rusia walaupun Kesatuan Eropah (EU) telah memberi amaran supaya tidak berbuat demikian.
Menurut laporan Financial Times yang memetik kenyataan dari orang yang mengetahui perkara tersebut, mengatakan pengedar gas di Jerman, Austria, Hungary dan Slovakia sedang bersiap sedia untuk membuka akaunn rubel di Gazprombank, Switzerland.
Ini termasuk dua pengimport tunggal terbesar gas Rusia, Uniper yang berpangkalan di Düsseldorf dan OMV yang berpangkalan di Vienna.
Rundingan antara firma-firma tersebut dan Gazprom, pembekal gas yang dikawal negara Rusia telah dipergiatkan apabila tarikh akhir pembayaran semakin hampir, lapor Financial Times.
Syarikat Eni dari Itali, yang merupakan pelanggan besar Gazprom juga dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengambil langkah serupa, menurut sumber yang biasa dengan perbincangan itu.
Persediaan itu secara tidak langsung menunjukkan kesan daripada usaha Rusia yang menggunakan eskport tenaganya sebagai senjata dan mencabar keupayaan EU untuk mengekalkan pendirian menentang Moscow.
Pengimport gas di Poland dan Bulgaria telah menolak gesaan Putin untuk membayar gasnya dalam mata wang rubel sehingga mendorong RUsia menggantung bekalan ke dua negara itu.
Di bawah mekanisme baharu Rusia, syarikat Eropah akan terus membayar import mereka kepada Gazprombank dalam euro, memastikan mereka tidak melanggar peraturan sekatan.
Bank Rusia akan menukar deposit denominasi euro kepada rubel dalam akaun kedua yang dibuka atas nama mereka untuk pembayaran seterusnya kepada Moscow.