‘Dah sampai masanya kita ada manusia terkaya baru.’
Untuk seketika, jutawan Elon Musk hilang gelaran manusia terkaya dunia apabila kedudukannya dipintas Bernard Arnault dalam senarai Forbes Real-Tme Billionaires.
Pada awal pagi pukul 12 (8 Disember) Ketua Eksekutif Louis Vuitton, Bernard Arnault mengungguli kedudukan pertama dalam senarai Forbes Real-Tme Billionaires dengan nilai kekayaan sebanyak $185.3 bilion.
Musk pula merosot ke tempat ke-2, pertama kali sejak September 2021, apabila nilai saham syarikat kereta elektrik (EV) miliknya merosot dan menanggung perbelanjaan $44 bilion untuk membeli Twitter.
Setakat ini saham Tesla Inc hilang 47% nilainya dengan para pelabur menjual pegangan tatkala Musk sibuk dengan urusan pemerolehan Twitter awal tahun ini.
Musk sendiri juga telah menjual hampir $70 bilion saham Tesla dan pembelian Twitter memaksa beliau menanggung pinjaman $13 bilion dan komitmen ekuiti $33.5 bilion.
Sungguhpun begitu, sebaik matahari terbit pagi tadi Musk kembali di kedudukan pertama dengan nilai kekayaan sebanyak $185.4 bilion dan Arnault di tempat ke-2 dengan nilai kekayaan sebanyak $184.7 bilion.
Akan tetapi kekayaan Musk yang merosot di bawah paras $200 bilion tahun ini juga menjadikannya jutawan dengan kerugian harian terbesar sebanyak -$3.8 bilion menurut senarai Forbes Today’s Winner and Losers.