Euro didagangkan meningkat pada awal sesi Eropah di tengah-tengah jangkaan pelabur untuk kenaikan kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah (ECB) tidak lama lagi.
Laporan minit mesyuarat ECB yang bakal diterbitkan dalam beberapa jam lagi akan menjadi tumpuan pasaran walaupun ia berkemungkinan tidak menunjukkan isyarat dari ECB untuk melaksanakan pengetatan.
Ini kerana kebanyakan petunjuk yang dinyatakan oleh para penggubal dasar adalah ketika pengucapan awam dan di luar mesyuarat polisi.
Pasaran kini meletakkan jangkaan bahawa bank pusat itu akan memulakan kitaran pengetatan dengan kenaikan kadar faedah pertama pada bulan Julai seperti mana yang diperkatakan oleh penggubal dasar Klaas Knot.
Dalam pada itu, US dolar yang pada mulanya memaparkan kenaikan ketika sesi sebelum ini, kembali merosot pada awal sesi Eropah yang memberi peluang buat euro dan pound untuk meningkat.
Walaupun begitu, suasana pasaran masih lagi suram yang mendorong kemerosotan dalam pasaran saham susulan penjualan Wall Street yang ketara dan safe-haven yen pula mengukuh.
Inflasi global yang melambung tinggi dan perang di Ukraine yang berterusan telah mencetuskan kebimbangan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi dunia mungkin terjejas.
Sementara itu, dolar Aussie masih mengekalkan keuntungannya daripada bacaan data pekerjaan yang memberangsangkan, di mana kadar pengangguran Australia menjunam ke paras terendah hampir 50 tahun.