Data pekerjaan NFP Amerika Syarikat tanpa dijangka mencatat bacaan yang sedikit mengecewakan sehingga mendorong dagangan dolar greenback menjunam rendah.
Junaman yang dipamerkan US dolar sekali gus memberi peluang kepada kebanyakan mata wang utama lain, terutamanya mata wang Eropah untuk meningkat tinggi.
Pada bulan Disember, angka yang dicatatkan dalam pertambahan pekerjaan AS meleset jauh dari jangkaan dengan hanya 199,000 dicipta berbanding anggaran untuk meningkat 426,000 pekerjaan.
Sebaliknya, kadar pengangguran menurun kepada 3.9% daripada 4.2% yang dicatatkan sebelumnya, dan juga lebih baik dari unjuran untuk penurunan pada 4.1%.
Selain itu, pertumbuhan gaji juga lebih kukuh daripada dijangkakan, dengan kenaikan 0.6% pada bulan lepas dan memacu kadar tahunan kepada 4.7% mengatasi 4.2% yang dianggarkan pasaran.
Walaupun kadar pengangguran mencatat penurunan dan pertumbuhan upah lebih kukuh mendorong hasil bon AS 10 tahun lebih tinggi, tetapi mata wang US dolar gagal untuk meningkat.
Pelabur mungkin ingin melihat reaksi Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell dahulu dalam keterangan di hadapan Senat pada hari Selasa nanti.
Sementara itu, mata wang pound meneruskan kenaikan ke tahap tertinggi untuk tahun ini dengan pergerakan harga dilihat semakin menghampiri paras 1.3600 berbanding US dolar pada sesi Asia.
Mata wang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi didagangkan sedikit meningkat pada sesi Asia dengan pergerakan harga dipengaruhi oleh dagangan greenback.