Pengumuman mengejut diplomat tertinggi mata wang Jepun, Masato Kanda telah mencetuskan panik dalam pasaran pada sesi Eropah yang mendorong lonjakan ketara mata wang yen dan junaman US dolar.
Kanda mengumumkan pada petang Khamis bahawa kerajaan Jepun telah campur tangan dalam pasaran pertukaran asing dengan membeli yen berbanding US dolar bagi membendung kejatuhan mendadak mata wang itu.
Ini merupakan kali pertama kerajaan Jepun dan Bank of Japan (BOJ) mengambil langkah tersebut sejak Jun 1998.
Kesannya, yen mencatat lonjakan luar biasa yang membantunya bangkit semula dari paras terendah 24 tahun berbanding US dolar sebaik sahaja laporan tersebut keluar.
Ini dapat dilihat pada pergerakan harga carta pasangan mata wang US dolar berbanding yen menjunam sekitar 500 pips dari paras ketinggian 24 tahun.
Dalam pada itu, pengunduran US dolar dari puncak tertinggi 20 tahun telah memberi peluang buat kebanyakan mata wang utama untuk sedikit pulih dari kejatuhan susulan keputusan polisi Federal Reserve (Fed).
Mata wang pound sedikit meningkat namun masih didagangkan di sekitar paras terendah 37 tahun apabila tumpuan pelabur diarahkan sepenuhnya kepada mesyuarat Bank of England (BOE) yang akan berlangsung tidak lama lagi.