Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Pekerjaan UK (Selasa 3.00 Petang): Tuntutan faedah pengangguran di UK dijangka akan meningkat pada Februari dengan kadar pengangguran juga dijangka turut meningkat. Sektor buruh di UK yang suram akan menyokong pandangan bank pusat sebelum ini untuk menghentikan pengetatan dasar monetari.
Data CPI AS (Selasa 8.30 Malam): Menjadi indikator penting bagi Federal Reserve (Fed) melanjutkan penetapan dasar monetari, kadar inflasi di Amerika Syarikat akan diteliti. Inflasi yang semakin menurun berkemungkinan akan mengurangkan semula jangkaan untuk Fed beralih ke fasa pengetatan.
Data PPI AS (Rabu 8.30 Malam): Berhubung kait rapat dengan data inflasi, bacaan data indeks harga pengeluar dilihat akan memberi gambaran terhadap inflasi pengguna di masa hadapan. Penurunan pada data PPI akan mendorong ramalan penurunan juga pada angka CPI selepas ini.
Data Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Pagi): Setelah ekonomi kehilangan 11,000 pekerjaan pada bulan sebelumnya, Australia diramalkan mencatatkan pertambahan hampir 50,000 pada Februari. Sementara, kadar pengangguran diramalkan menurun kepada 3.6% daripada 3.7%.
Mesyuarat Polisi ECB (Khamis 9.15 Malam): Bank pusat Eropah dijangka akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas ke paras 3.50% setelah ahli-ahli bank pusat serta Presiden Christine Lagarde ini kekal memberi isyarat untuk meneruskan pengetatan dasar monetari mereka.
Sentimen Keyakinan Pengguna AS (Jumaat 10.00 Malam): Menutup tirai dagangan minggu ini, pelabur akan meneliti tinjauan data bagi keyakinan pengguna di Amerika untuk menilai perbelanjaan dan memberi gambaran terhadap aktiviti ekonomi.