Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang bakal menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan Eropah (Selasa 5.00 Petang): Kesihatan ekonomi semasa akan dinilai melalui sektor penting ini dengan kebimbangan bacaan yang masih berada di paras yang menunjukkan penguncupan.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan UK (Selasa 5.30 Petang): Bacaan angka yang berada di bawah paras 50.0 untuk beberapa bulan kebelakangan ini kekal menunjukkan risiko terhadap ekonomi semasa di UK.
Data Inflasi Kanada (Selasa 9.30 Malam): Bakal memberi petunjuk untuk penetapan dasar monetari Bank of Canada (BOC), kadar inflasi terbaru di Kanada akan diperhatikan setelah menunjukkan corak penurunan, namun masih berada di paras yang tinggi pada 6.3%.
Data PMI Pembuatan & Perkhidmatan AS (Selasa 10.45 Malam): Kedua-dua sektor penting AS ini telah mencatatkan bacaan di bawah paras 50.0 mata untuk 4 bulan berturut-turut menunjukkan risiko pada tahap ekonomi semasa Amerika. Bacaan terbaru juga dijangka kekal suram.
Mesyuarat Polisi Bank Pusat New Zealand (Rabu 9.00 Pagi): Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) dijangka untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas daripada 4.25% kepada 4.75%. Kenyataan susulan bank pusat akan diperhati rapat pelabur untuk petunjuk dasar monetari selanjutnya yang boleh beri kesan terhadap mata wang NZD.
Minit Mesyuarat FOMC (Khamis 3.00 Pagi): Butiran lanjut pada mesyuarat FOMC terbaru akan diteliti pelabur susulan isyarat bernada dovish ditampilkan oleh Federal Reserve (Fed) selepas kenaikan kadar faedah diperlahankan kepada 25 mata asas.
Data Pertumbuhan Ekonomi AS (Khamis 9.30 Malam): Bacaan kedua data keluaran dalam negara kasar untuk Amerika bagi suku terakhir 2022 lalu akan dinilai. Pada kebiasaannya, tiada perubahan pada angka bacaan dijangkakan pasaran daripada bacaan awal.