Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
Data Indeks Pembuatan New York (Isnin 8.30 Malam): Tinjauan ke atas 200 pengilang di New York turut menjadi sebahagian daripada indikator yang diperhatikan pasaran yang menjadi penyumbang kepada kesihatan semasa ekonomi Amerika. Namun, jangkaan untuk bacaan pertengahan Oktober ini diramal lemah.
Data Inflasi New Zealand (Selasa 5.45 Pagi): Bacaan inflasi bagi suku ketiga di New Zealand diramal meningkat dari 1.1% kepada 1.9%. Ini akan menjadi petunjuk awal pasaran terhadap unjuran langkah yang akan diambil oleh bank pusat dalam penetapan dasar monetari mereka.
Data Pekerjaan UK (Selasa 2.00 Petang): Beberapa komponen dalam laporan pekerjaan UK terbaru akan diperhatikan terutamanya jumlah tuntutan faedah pengangguran yang dijangkakan meningkat semula untuk bulan September. Indeks purata pendapatan serta kadar pengangguran diramalkan tiada perubahan ketara pada bacaan terbaru.
Data Inflasi Kanada (Selasa 8.30 Malam): Bacaan inflasi bulanan di Kanada dijangka lebih rendah ke paras sifar berbanding sebelumnya. Angka yang lebih rendah boleh mendorong penyusutan terhadap nilai dolar Kanada dalam pasaran.
Data Jualan Runcit AS (Selasa 8.30 Malam): Turut menjadi salah satu komponen inflasi, kadar jualan semasa mengukur tahap perbelanjaan rakyat sama ada semakin meningkat atau menurun. Ramalan untuk September adalah lebih suram berbanding bulan sebelumnya.
Data Inflasi UK (Rabu 2.00 Petang): Kadar inflasi di UK masih lagi berada di paras yang tinggi. Sedikit sahaja penurunan dijangkakan untuk bacaan terbaru iaitu menurun kepada 6.6% daripada 6.7%. Bank pusat dilihat masih bergelut untuk menjinakkan inflasi sejak melonjak selepas pandemik.
Data Pekerjaan Australia (Khamis 8.30 Pagi): Pertambahan bilangan pekerjaan di Australia pada September diramalkan kembali perlahan pada sekitar 20,900 selepas lonjakan pada bulan sebelumnya sebanyak 64,900. Namun, kadar pengangguran diunjur kekal di paras 3.7%.
Data Jualan Runcit UK (Jumaat 2.00 Petang): Sesi Eropah pada penghujung minggu dilihat akan menyaksikan impak terhadap pergerakan mata wang Pound. Kadar jualan runcit pada September dijangka merosot ke paras negatif, memberi petunjuk perbelanjaan yang perlahan.