Kongres Amerika Syarikat kini mempunyai masa kurang dua minggu sahaja lagi untuk meluluskan rang undang-undang bagi memastikan kerajaan terus berjalan.
Di bawah Akta Anti Defisiensi, agensi persekutuan tidak boleh membelanjakan sebarang wang tanpa peruntukan atau kelulusan daripada Kongres.
Apabila Kongres gagal meluluskan 12 rang undang-undang peruntukan tahunan, agensi persekutuan mesti menghentikan semua fungsi dalam kerajaan sehingga Kongres bertindak.
Ini dikenali sebagai ‘government shutdown’ atau penutupan kerajaan. Ia pernah terjadi pada 2018 ketika pemerintahan bekas Presiden Donald Trump.
Melihat kepada situasi semasa, Dewan Republikan kini bergelut untuk mencapai kesepakatan mengenai rang undang-undang perbelanjaan pertahanan sebelum akhir bulan ini.
Malah, terdapat beberapa ahli Republikan yang mengancam untuk menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat Kevin McCarthy daripada jawatannya jika tidak akur dengan tuntutan mereka.
Sekiranya berlaku penutupan kerajaan AS, Biro Statistik Buruh berkata ia akan berhenti mengeluarkan data, termasuk laporan penting mengenai inflasi dan pengangguran.
Kekurangan data kerajaan yang penting pastinya memberi impak kepada Federal Reserve (Fed) untuk menilai tahap kesihatan semasa ekonomi AS dan menyukarkannya menjalankan tugas.