US dolar didagangkan positif pada Isnin setelah mencatat keuntungan sederhana pada minggu lalu dengan pasaran kini menumpukan perhatian kepada terbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada minggu ini.
Raja mata wang itu meraih sokongan selepas laporan inflasi Amerika Syarikat yang dikeluarkan menunjukkan ia masih tinggi walaupun terus menurun dan data jualan runcit juga kuat.
Ia secara tidak langsung menguatkan pandangan bahawa Federal Reserve (Fed) akan terus melaksanakan kenaikan kadar faedah bagi memastikan inflasi benar-benar turun kepada sasaran.
Hasilnya, indeks dolar berjaya membuat kenaikan ke paras tertinggi sejak awal Januari, di samping turut dibantu oleh kenyataan berbaur hawkish daripada beberapa penggubal dasar Fed.
Menjadi tumpuan utama minggu ini adalah pastinya minit mesyuarat FOMC yang bakal diterbitkan pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia) dan data anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku keempat.
Mengikuti perkembangan pasaran pada awal minggu, dolar Aussie dan New Zealand didagangkan sedikit berubah selepas mencatat peningkatan pada akhir dagangan minggu lalu yang membantunya untuk mengurangkan sedikit kerugian.
Buat pelabur dolar kiwi, mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada hari Rabu akan menentukan hala tuju seterusnya mata wang itu dengan penetapan dasar baharu.
Selain itu, euro dan pound pula sedikit susut, dengan pasaran kini mengalihkan tumpuan kepada keluaran data pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah dan AS pada hari Selasa.
Mata wang yen pula kekal lemah di tengah-tengah pengukuhan US dolar dan ketidakpastian mengenai gabenor baharu Bank of Japan (BOJ).
Untuk pengetahuan, dagangan di Amerika Syarikat pada hari Isnin ditutup sempena President’s Day.