Minyak mentah didagangkan stabil pada Jumaat dengan harga berada di landasan bagi mencatatkan keuntungan mingguan pertamanya untuk tahun ini.
Menuju sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan sedikit berubah pada $83 setong manakala dagangan WTI Amerika Syarikat $78 setong.
Brent ditetapkan untuk menutup dagangan minggu ini dengan kenaikan 6.5%, manakala WTI AS pula menuju keuntungan 6%.
Ini disokong oleh peningkatan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi di China selepas pengimport minyak mentah terbesar dunia itu membuka semula sempadan antarabangsanya buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun.
Laporan media menunjukkan bandar-bandar China menyaksikan kesesakan jalan raya yang tinggi, manakala syarikat penerbangan domestik mencatatkan peningkatan penumpang sejak Disember.
Situasi ini memberi petanda positif buat permintaan bahan api dari ekonomi gergasi kedua dunia itu, lebih-lebih lagi Beijing juga menerbitkan kuota import minyak mentah lebih tinggi untuk 2023.
Dalam pada itu, bacaan inflasi AS yang lemah turut menyokong pasaran yang memperlihatkan tekanan harga di ekonomi nombor 1 dunia itu semakin mereda.
Pun begitu, peningkatan dalam bekalan minyak AS membataskan dagangan komoditi hitam itu daripada bergerak lebih tinggi untuk menghapuskan kerugian yang dicatatkan minggu lalu.