Minyak mentah didagangkan lebih rendah pada hari Rabu selepas data terbaru dari China menambah tekanan buat komoditi hitam itu.
Sesi Asia menyaksikan niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan susut pada sekitar harga $73 setong manakala WTI Amerika Syarikat pula jatuh pada $69 setong.
Terdahulu pada hari Selasa, harga minyak telah mengalami kejatuhan yang agak ketara dengan kerugian lebih 4%.
Ketidakpastian yang berlegar dalam pasaran menyebabkan dagangan komoditi hitam itu tidak menentu.
Antara faktor yang mendorong ketidaktentuan itu adalah jangkaan yang meningkat bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar faedah dan pasaran berbelah bahagi tentang keputusan OPEC pada mesyuarat akan datang.
Menambah tekanan buat dagangan emas hitam itu adalah data ekonomi yang menunjukkan kelemahan berterusan dalam pemulihan China.
Data terbaru daripada Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) mendedahkan indeks PMI pembuatan jatuh lebih dalam kepada 48.8 pada bulan ini, daripada 49.2 yang dicatatkan bulan sebelumnya.
Sementara indeks PMI bukan pembuatan pula menunjukkan pengembangan sebanyak 54.5 tetapi menurun daripada yang dicatatkan bulan sebelumnya 56.4.
Selaku salah satu pengguna minyak terbesar di dunia, kelemahan dalam pertumbuhan China mendorong jangkaan permintaan terhadap minyak juga suram.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.