Baru tadi, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim mengumumkan sebanyak RM1.1 trillion pada dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 31 Ogos 2023.
Menurutnya, daripada jumlah itu purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9% di mana 24.4% dalam ekuiti tersenarai domestik.
Dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 billion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3% yang mana 74.4% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
Manakala, bagi dana pelaburan KWAP pula adalah berjumlah RM167 billion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3% yang mana 45.2% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik. Lembaga Tabung Haji (TH) pula berjumlah RM91 billion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1% yang mana 18.3% adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.
Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan daripada Jimmy Puah Wee Tse, ahli Parlimen Tebrau berkenaan jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC dan adakah keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti.
Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengumumkan pelaksanaan akaun ketiga atau akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan bermula pada April 2024.
Katanya lagi, tujuan inisiatif itu adalah bagi memudahkan rakyat dalam mengeluarkan simpanan jika berlakunya kecemasan. Ketika Covid-19, sebanyak RM145 billion telah dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran dan selepas itu kerajaan tidak lagi benarkan.
Lanjutnya, pihak kerajaan membuat formula baru iaitu akaun ketiga yang masih dalam fasa perincian dan cadangannya akan dilaksanakan pada April tahun depan.