Terkini, bank-bank di Malaysia menawarkan bantuan yang bertujuan bagi meringankan beban kewangan kepada pelanggan yang terjejas dengan bencana banjir di beberapa negeri.
OCBC Bank Malaysia Bhd, bersama anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd meminta semua pelanggannya sama ada individu, mikroperusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial dan korporat yang terjejas agar menghubungi bank itu jika mahu membincangkan kemungkinan untuk mendapatkan bantuan serta menyusun semula pinjaman pembiayaan.
Semua permohonan akan diberi keutamaan dan dilayan mengikut kes dengan matlamat untuk menentukan jalan penyelesaian yang terbaik buat para pelanggan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata OCBC Malaysia sentiasa berusaha menyokong setiap pelanggan yang terkesan dengan bencana banjir dan menyeru agar mereka kekal positif dalam situasi yang mencabar ini.
Katanya lagi, banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini telah menyebabkan beberapa kumpulan individu dan masyarakat dihimpit kesusahan. Sebagai sebahagian daripada usaha memudahkan pelanggan, mereka bersedia untuk membantu mana-mana daripada mereka yang terjejas untuk menangani masalah pembayaran supaya mereka dapat pulih dan terus mengejar aspirasi.
OCBC Bank juga menyeru kepada pelanggan agar tidak teragak-agak untuk menghubungi mereka bagi mendapatkan bantuan.
Selain itu, Alliance Bank Malaysia Bhd juga menawarkan program bantuan banjir untuk meringankan beban kewangan pelanggan dan perniagaan yang terjejas akibat banjir.
Dalam kenyataannya, langkah bantuan itu termasuk menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian bayaran balik pinjaman serta pengecualian bayaran fi dan caj untuk semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kellee Kam, dalam kenyataan sama berkata Alliance Bank memahami tekanan emosi dan kewangan yang dialami oleh keluarga dan perniagaan yang terjejas banjir.
Bantuan berikutan banjir ini dibuka untuk permohonan berkuat kuasa serta-merta sehingga 26 Januari 2024.