- Mesyuarat BOJ 18 Januari jadi perhatian
- Penggubal dasar akan bincang tentang impak dasar monetari
- Langkah tambahan akan diambil jika perlu
Berita baik buat pelabur mata wang yen selepas Bank of Japan (BOJ) dilaporkan akan mengkaji semula impak daripada dasar monetarinya yang longgar pada mesyuarat dasar minggu depan.
Menurut laporan akhbar Yomiuri pada Khamis, bank pusat itu juga dikatakan akan mengambil langkah tambahan untuk membetulkan ketidaktentuan dalam keluk hasil.
Pada bulan lepas, bank pusat itu mengejutkan pasaran dengan membenarkan sasaran hasil bon 10 tahunnya meningkat sehingga 0.50% daripada had sebelumnya 0.25%.
Namun, langkah itu gagal menangani masalah dalam keluk hasil apabila hasil bon melonjak menyentuh 0.50% pada minggu lalu.
Ekoran itu, 9 penggubal dasar bank pusat membahaskan kesan sampingan dasar kawalan keluk hasil (YCC) dan pergerakan pasaran bon sejak keputusannya pada Disember dalam pertemuan polisi minggu depan.
Selain itu, mereka juga akan meneliti sama ada BOJ boleh membetulkan isu dalam pasaran bon melalui pelarasan dalam jumlah bon yang dibelinya dan akan mengambil langkah tambahan jika perlu.
Rentetan daripada laporan tersebut, dagangan yen mencatatkan peningkatan berbanding US dolar pada sesi Asia dengan didagangkan pada sekitar harga 131.65.