Bursa kripto terbesar, Binance dilaporkan menjalankan ujian pengesanan penipuan (lie detector test) ke atas ikon bola sepak dunia Cristiano Ronaldo.
Ronaldo turut mengemaskini perkembangan itu di akaun platform X beliau dan ramai yang tertanya-tanya apakan tujuan Binance membuat tindakan itu.
Ronaldo menyatakan Binance memberi cabaran terbesar kepadanya dengan mengenakan ujian tersebut. Video penuh bakal menyusul kemudian, jadi peminat harus nantikan.
Rata-rata para peminat pada mulanya agak kurang senang dengan tindakan Binance yang dilihat tidak sepatutnya berbuat sedemikian yang boleh mencalarkan imej seorang figura yang berstatus bintang dunia.
Namun didedahkan bahawa tujuan ujian tersebut diadakan adalah untuk mendapatkan kesahihan berkenaan kenyataan Ronaldo berhubung minat beliau terhadap mata wang kripto sebelum ini dan penglibatan beliau bersama Binance.
Malah, Binance juga telah mendapat persetujuan daripada Ronaldo sendiri sebelum menjalankan ujian itu.
Ada juga pihak yang melihat perkara ini sebagai salah satu teknik pemasaran setelah penampilan koleksi non-fungible token (NFT) kedua Ronaldo yang dilancarkan.
Koleksi NFT yang bertajuk “ForeverCR7: The GOAT” adalah tribut untuk karier Ronaldo dalam bentuk ilustrasi dan juga pencapaian beliau dalam bola sepak.
Koleksi yang telah dilancarkan pada Julai lalu itu mempamerkan pelbagai jenis 20 reka bentuk yang berbeza.
Setiap reka bentuk tampil dengan tangkapan detik-detik jaringan terbaik yang telah dihasilkan sepanjang karier beliau daripada gaya jaringan ‘bicycle kick’ hinggalah tendangan kencang jarak jauh yang memukau.