Perubahan pendekatan baru pada dasar monetari kini dijangka di bawah kendalian gabenor baru Bank of Japan (BOJ) Kazuo Ueda.
Majoriti penganalisis pasaran ketika ini berpandangan bahawa BOJ bakal menamatkan polisi kadar faedah negatif pada tahun hadapan.
80% pakar ekonomi pada tinjauan Reuters meletakkan keyakinan bahawa bank pusat semakin hampir untuk keluar dari pelaksanaan dasar monetari ultra-longgar yang telah dikekalkan setelah sekian lama.
Namun, ini akan menjadi cabaran besar buat Ueda untuk mengemudi dasar monetari baru itu dalam waktu yang sama mengekalkan kestabilan ekonomi Jepun.
Sebahagian kecil pakar ekonomi menjangkakan perubahan dasar monetari BOJ itu akan bermula seawal penghujung tahun ini, di mana kadar faedah negatif akan berakhir pada mesyuarat Disember nanti.
Umum menyedari bahawa BOJ telah berterusan mengekalkan kadar faedah negatif itu tidak berubah walaupun ketika fasa pandemik melanda yang menyaksikan majoriti bank pusat seluruh dunia menurunkan dan menaikkan kadar faedah secara agresif.
Sementara itu, pelabur juga kekal memerhatikan pergerakan mata wang Yen Jepun dalam pasaran kewangan dengan kemungkinan langkah campur tangan akan diambil oleh bank pusat.
Namun, situasi itu dilihat tidak berlaku pada dagangan waktu terdekat ini walaupun ketika harga pada carta pasangan mata wang USD/JPY telah melonjak melepasi paras penting ¥150.00 pada Oktober lalu.
Harga kini telah didagangkan susut semula di bawah paras tersebut pada awal minggu ini setelah corak penurunan mula dipaparkan sejak minggu yang lalu.