“Haihh setelah sekian lama dapat juga tangkap Kwon yang licik melarikan diri ni.”
Sejurus selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terraform Labs Do Kwon ditangkap di Podgorica, Montenegro, pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) di New York telah mendakwa beliau dengan penipuan.
Dalam pemfailan mahkamah ditandatangani oleh Peguan AS Damian Williams, Kwon turut didakwa dengan lapan pertuduhan berasingan iaitu penipuan komoditi, wire, konspirasi dan terlibat dalam manipulasi pasaran.
Pendakwa raya AS berkata bahawa Kwon telah membuat beberapa kenyataan palsu dan mengelirukan semasa wawancara beliau berkenaan sejauh manakah blockchain Terra diterima pakai oleh para pengguna.
Sementara Kwon bukan sahaja memanipulasi tentang keberkesanan stablecoin TerraClassicUSD (USTC) untuk kekalkan peg dengan dolar AS, malah mengubah harga pasaran aset digital tersebut melalui strategi perdagangan yang berniat jahat.
Secara konteks, Kwon dan rakan kongsi perniagaannya Hon Chang Joon telah ditahan di lapangan Terbang Podgorica ketika cuba melarikan diri ke Dubai dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu dari Costa Rica.
Pencarian bagasi turut menemui dokumen perjalanan Belgium yang dipalsukan bersama tiga komputer riba dan lima telefon bimbit.
Menurut laporan akhbar Pobjeda berpangkalan di Montenegro pada 23 Mac, Pejabat Pendakwaan Negeri akan mengenakan tuduhan jenayah terhadap Kwon dan Joon susulan menggunakan dokumen palsu itu, di mana ia adalah pertama kali ditemui oleh Interpol.
Difahamkan bahawa kesalahan jenayah tersebut adalah tertakluk di bawah Perkara 412 perenggan 2 Kanun Jenayah Montenegro yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun.