Rupa-rupanya bukan Amerika Syarikat sahaja yang menjadi ‘mangsa’ intipan China, di mana NATO turut menyuarakan kebimbangannya terhadap aktiviti pengintipan Beijing yang meningkat di Eropah.
Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata penemuan belon pengintip di benua AS baru-baru ini membuktikan bahawa China telah melabur banyak dalam keupayaan ketenteraan baharu, terutamanya untuk pelbagai jenis platform pengawasan dan risikan.
Seperti di Amerika, organisasi itu juga mengesan aktiviti perisikan yang meningkat Beijing di Eropah, tetapi menggunakan platform yang berbeza seperti satelit atau secara siber.
Justeru, Stoltenberg memberi amaran supaya NATO lebih berwaspada dan sedar tentang risiko berterusan yang ditimbulkan oleh tindakan China.
Tambahnya lagi organisasi itu perlu bersedia untuk bertindak balas dengan cara yang berhemat, bertanggungjawab dan berwaspada.
China telah mengakui bahawa belon yang dikesan berlegar di ruang udara AS minggu lalu sebagai miliknya, tetapi menafikan ia dihantar sebagai tujuan risikan.
Insiden itu telah menyebabkan Setiausaha Negara AS Anthony Blinken membatalkan lawatan ke Beijing.