China menjatuhkan sekatan ke atas pembuat cip memori gergasi Amerika Syarikat, Micron Technology dengan dakwaan ia mencetuskan ‘risiko keselamatan negara’.
Hal ini sekali gus mengharamkan firma itu daripada projek infrastruktur utama dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) berkata pada hari Ahad bahawa produk yang dibuat oleh Micron akan diharamkan untuk dijual kepada pengendali infrastruktur maklumat utama negara.
Meskipun begitu, CAC tidak memberikan butiran lanjut mengenai risiko yang dikatakan telah ditemui daripada produk Micron.
Ini merupakan langkah drastik pertama yang dilaksanakan Beijing ke atas pembuat cip AS, dan dilihat sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang diperketatkan Washington terhadap eksport cip ke China.
Bertindak balas kepada larangan tersebut, Jabatan Perdagangan AS menafikan dakwaan Beijing sebagai ‘tidak berasas’.
Tambahnya lagi, ia akan bekerjasama dengan sekutu untuk menangani manipulasi pasaran cip memori yang disebabkan oleh tindakan China.
Sebelum tindakan CAC, Micron Technology pada minggu lalu mengumumkan ia akan melabur sekitar 500 bilion yen ($3.6 bilion) untuk membangunkan teknologi di Jepun.