US dolar didagangkan bercampur-campur berbanding pesaing utamanya, menyaksikan mata wang euro kecundang susulan laporan mengenai petunjuk dovish dalam langkah Bank Pusat Eropah (ECB) akan datang.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam mata wang utama lain, diniagakan pada 102.50 pada sesi Asia.
Bloomberg News melaporkan bahawa Presiden Christine Lagarde dan para penggubal dasar lain akan memilih kenaikan kadar 50 mata asas pada Februari dan mengurangkan peningkatan kepada 25 mata asas mulai Mac.
Hal ini sekali gus mengheret dagangan euro untuk berundur dari puncak ketinggian 8 bulan dan diniagakan lebih rendah pada 1.0788 berbanding US dolar pada sesi Asia hari ini.
Berbeza dengan pound pula, mata wang itu lebih kukuh di paras tertinggi satu bulan berbanding greenback susulan data pekerjaan yang menunjukkan pasaran buruh kekal ketat pada November.
Susulan pertumbuhan gaji yang semakin tinggi, Bank of England (BOE) mungkin perlu menaikkan kadar faedah sekali lagi atau mengekalkannya tinggi lebih lama.
Pelabur kini mengalihkan tumpuan kepada penerbitan data inflasi UK pada sesi Eropah akan datang.
Sebelum itu, pelabur terlebih dahulu akan menyaksikan keputusan polisi Bank of Japan (BOJ) pada sesi Asia, dengan kenyataan susulan oleh Gabenor Haruhiko Kuroda menjadi fokus utama.
Dagangan yen Jepun sedikit susut sekitar harga 128.80 berbanding US dolar ketika pembukaan sesi Asia.
Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand pula kekal didagangkan tinggi berbanding dolar Amerika.