US dolar didagangkan sedikit susut pada sesi Asia selepas melonjak tinggi susulan terbitan data jualan runcit Amerika Syarikat yang memberangsangkan pada sesi terdahulu.
Jualan runcit AS kembali mencatat pertumbuhan lebih kuat pada bulan Januari dengan melonjak 3.0% daripada penurunan 1.1% yang dicatatkan sebelumnya, dan tersasar daripada jangkaan untuk naik hanya 1.9%.
Catatan ini secara tidak langsung menonjolkan lagi kekuatan ekonomi di Amerika dan memberi keselesaan buat Fed meneruskan kenaikan atau mengekalkan kadar di tahap yang tinggi untuk tempoh lebih lama bagi memerangi inflasi.
Ini susulan kadar inflasi pengguna AS yang menurun pada kadar lebih perlahan pada bulan Januari dengan meningkat 6.4% daripada 6.5% bulan sebelumnya.
Sebaik sahaja data jualan runcit dikeluarkan, indeks dolar mendaki lebih tinggi, mencecah paras harga 104.00 buat kali pertama sejak awal Januari sebelum keuntungan kembali berkurang pada sesi Asia hari ini.
Mata wang euro pula menjunam ke paras terendah satu bulan selepas dikecewakan oleh data pengeluaran perindustrian Zon Eropah yang menguncup 1.7% pada bulan Disember, di samping turut terkesan oleh USD yang lebih kuat.
Dagangan pound turut menyusut setelah data inflasi UK yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan peningkatan 10.1% pada Januari, tersasar daripada jangkaan untuk meningkat 10.3% dan menurun daripada bulan Disember 10.5%.
Sementara itu di Asia, dolar Aussie tergelincir rendah selepas dikejutkan oleh data pekerjaan yang mengecewakan pada bulan lepas, yang turut disusuli oleh penurunan dolar New Zealand.
Tumpuan pelabur seterusnya akan tertumpu pada data inflasi pengeluar AS pada sesi New York yang diramalkan meningkat pada bulan Januari.