Menyambung pembukaan dagangan awal minggu ini, mata wang US dolar dilihat masih kekal dalam prestasi suram seperti minggu lalu dipengaruhi data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.
Di sesi New York, data jualan rumah baru AS catat pertambahan angka yang lebih rendah berbanding ramalan iaitu sebanyak 679,000 untuk bulan Oktober.
Angka adalah lebih rendah berbanding ramalan 724,000 selain bacaan terdahulu juga telah dikemas kini menurun daripada 759,000 kepada 719,000.
Tumpuan pada hari ini pula akan terarah kepada terbitan data keyakinan pengguna AS selain beberapa ucapan oleh ahli FOMC akan diberi perhatian oleh penganalisis untuk mendapatkan petunjuk tambahan berkenaan dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Menuju mesyuarat FOMC pada Disember, majoriti pasaran ketika ini menjangkakan tiada kenaikan kadar faedah oleh Fed dan berkemungkinan pemotongan kadar akan bermula pada pertengahan 2024.
Turut diteliti pelabur pada awal minggu, indeks dolar (DXY) dilihat catatkan penurunan lebih rendah berbanding minggu lalu iaitu susut di bawah paras 103.20 mata.
Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula kembali tergelincir semula dari atas paras 4.50% sehingga kembali ke sekitar 4.40%.
Situasi semasa memberi kelebihan kepada mata wang utama dalam pasaran dengan Euro dilihat berlegar di paras tertinggi 3 bulan sementara Pound masih meneruskan peningkatan nilainya yang mempamerkan kenaikan 3 hari berturut-turut.
Begitu juga mata wang lain seperti dolar Australia, dolar New Zealand, dolar Kanada dan juga Yen yang mengukuh berbanding US dolar di awal minggu semalam.
Ketiadaan faktor-faktor terbaru yang mengubah suasana pasaran ketika ini akan menjangkakan pergerakan tersebut berterusan sehingga ke penutup November.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah masih didagangkan dalam keadaan tidak stabil menjelang keputusan mesyuarat OPEC, sementara harga emas kekal kukuh meneruskan kenaikan selepas melepasi paras $2,000.