Amerika Syarikat sedang mengawasi belon pengawasan altitud tinggi yang dipercayai milik China, kata pegawai pertahanan negara pada Khamis.
Penemuan ini dilihat berisiko dalam menambah ketegangan hubungan Washington dan China yang sudah sedia meningkat.
Jurucakap Pentagon memberitahu, belon itu telah dikesan melintasi utara Amerika selama beberapa hari.
Menurut pegawai itu lagi, objek itu terbang di atas Kepulauan Aleutian Alaska dan melalui Kanada sebelum muncul di bandar Billings di Montana pada hari Rabu.
Ia dikatakan bergerak pada ketinggian jauh di atas trafik udara komersial dan tidak menimbulkan ancaman ketenteraan atau fizikal kepada orang di darat.
Pun begitu, pemimpin tentera memutuskan untuk tidak menembaknya kerana bimbang mengenai potensi bahaya serpihan yang jatuh.
Namun, mereka sudah bersiap sedia dengan jet pejuang, termasuk F-22 sekiranya White House mengarahkan objek itu ditembak jatuh.