Harga emas sedikit susut pada permulaan dagangan awal minggu di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menanti lebih banyak lagi petunjuk daripada pembuat dasar Federal Reserve (Fed).
Sesi pasaran Asia memaparkan logam kuning itu berlegar pada sekitar paras harga $1,955 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,967 per auns.
Emas dilihat kekal terperangkap pada julat dagangan yang ketat sejak bulan lalu ekoran petunjuk bercampur-campur dalam hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat.
Walaupun Fed menghentikan kitaran peningkatan kadar faedahnya pada minggu lalu, namun, ia masih menjangkakan sekurang-kurangnya dua lagi kenaikan lagi tahun ini.
Data ekonomi AS pula mula menunjukkan tanda-tanda kelemahan, terutamanya angka inflasi yang semakin menurun kepada 4% pada bulan Mei tetapi masih jauh dari sasaran 2% bank pusat.
Pelabur kini memberi tumpuan kepada keterangan Pengerusi Jerome Powell mengenai laporan dasar monetari separuh tahunannya di hadapan jawatankuasa Dewan dan Senat AS pada minggu ini.
Selain Powell, beberapa pembuat dasar lain juga akan memberi kenyataan yang pastinya bakal diteliti oleh pelabur untuk petunjuk lebih jelas dalam hala tuju dasar seterusnya.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.