Melangkah ke pasaran komoditi, emas kembali diniagakan stabil pada hari Rabu ketika pelabur kini memberi tumpuan kepada terbitan laporan minit mesyuarat FOMC.
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan sedikit lebih tinggi pada sekitar harga $1,974 per auns, manakala niaga hadapan emas pula berlegar pada $1,976 per auns.
Sentimen pasaran kembali suram susulan perbincangan siling hutang Amerika Syarikat terus menemui jalan buntu.
AS kini semakin hampir kepada situasi ‘default’ berikutan kerajaan Persekutuan akan kehabisan dana menjelang 1 Jun jika isu siling hutang tak dapat diselesaikan.
Ini sedikit sebanyak memberi sokongan buat emas meningkat, selain turut dipacu oleh kemerosotan hasil bon AS 10 tahun yang berundur dari puncak tertingginya.
Pun begitu, logam kuning itu gagal bergerak lebih tinggi susulan dagangan US dolar yang lebih kuat.
Laporan minit mesyuarat FOMC yang akan dikeluarkan pada awal pagi Khamis kini menjadi tumpuan pelabur untuk mendapatkan petunjuk mengenai penetapan dasar Federal Reserve seterusnya.