“Memang ada naik, tapi susah sangat harga BTC nak tembus $38,400.”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) pada 28 November semalam sekali lagi cuba menembusi $38,343 apabila Gabenor Federal Reserve (Fed) Christopher Waller memberi komen bernada dovish pada satu acara di Washington.
Waller berkata bahawa inflasi di Amerika Syarikat (AS) sudah semakin menurun, oleh itu tiada sebab untuk Fed mengekalkan kadar faedah lebih tinggi yang dapat menyebabkan ekonomi tertekan selain melihat keperluan untuk pemotongan kadar dalam tempoh terdekat.
Rentetan itu, BTC menerima impak positif susulan para pelabur berasa lebih yakin untuk meletakkan wang mereka ke dalam aset berisiko, ulas James Butterfill iaitu ketua penyelidikan di pengurus aset digital Eropah CoinShares.
Hal ini kerana Waller yang merupakan seorang ahli Fed terkenal dan berpengaruh susulan sentiasa bernada hawkish juga menandakan kemungkinan untuk penurunan kadar faedah dalam beberapa bulan akan datang.
Oleh demikian, wang tunai yang memasuki pasaran kripto didapati semakin meningkat apabila kebanyakan pelabur institusi mula melabur dalam aset digital seperti BTC dan lain-lain sejurus selepas Waller memberi komen itu.
Bukan itu sahaja, pelabur juga semakin yakin Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) akan meluluskan spot BTC ETF dalam masa terdekat ini seterusnya memberi pelabur tradisional lebih pendedahan pada kripto lain.
Menerusi pemerhatian pada carta harga, BTC perlu melepasi zon rintangannya $38,343 terlebih dahulu untuk meneruskan kenaikan lebih tinggi tetapi jika gagal mengekalkan kedudukannya maka aset digital itu mampu jatuh semula pada $35,936 atau bawah lagi.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 2.18% pada paras $37,995 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $743 bilion kemudian mencatatkan kenaikan 5.27% sepanjang minggu lepas.