Mengejutkan! Tanpa dijangka tekanan inflasi di Australia terus meninggi pada suku keempat dengan melonjak ke paras tertinggi baharu sejak 1990.
Indeks harga pengguna (CPI) tahunan Australia melonjak kepada 7.8% pada suku akhir 2022 daripada 7.3% yang dicatatkan pada suku ketiga dan melangkaui jangkaan pasaran untuk kenaikan 7.5%.
Sementara inflasi teras pula meningkat kepada 6.9% berbanding 6.5% yang diramalkan pasaran, dan menokok daripada 6.1% bacaan sebelumnya.
Pada asas bulanan pula, CPI meningkat kepada 8.4% pada Disember daripada 7.3% pada November dan lebih tinggi daripada unjuran untuk kenaikan 7.7%.
Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), lonjakan ini dipacu oleh harga yang lebih tinggi untuk makanan, bahan api automotif dan pembinaan kediaman baharu.
Angka terbaharu yang diterbitkan ini pasti memberi tekanan buat Reserve Bank of Australia (RBA) yang sebelum ini telah mula memperlahankan kadar kenaikan dalam kadar faedahnya.
Rentetan itu, pelabur menurunkan jangkaan untuk RBA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat polisi yang dijadualkan berlangsung 7 Februari.
Sementara itu, dolar Aussie melambung ke puncak tertinggi baharu 5 bulan berbanding US dolar untuk didagangkan pada sekitar harga 0.7100 pada sesi Asia.
Di New Zealand, kehangatan tekanan inflasi pula berkurangan dengan CPI mencatat peningkatan 1.4% pada suku keempat daripada 2.2% sebelumnya.
Ini menyebabkan dagangan dolar kiwi merosot pada sekitar harga 0.6476 berbanding greenback sebaik sahaja data diterbitkan.