Kerajaan Jepun mencalonkan Kazuo Ueda sebagai gabenor Bank of Japan (BOJ) yang seterusnya pada hari Selasa.
Ueda, 71, merupakan seorang ahli ekonomi akademik dan bekas ahli lembaga polisi bank pusat itu.
Pencalonan yang dibentang kepada parlimen itu turut menyaksikan Shinichi Uchida, 60, pengarah eksekutif BOJ dan Ryozo Himino, 62, bekas ketua Agensi Perkhidmatan Kewangan untuk jawatan timbalan gabenor.
Gabenor semasa, Haruhiko Kuroda akan menamatkan penggalnya pada 8 April, manakala tempoh berkhidmat dua timbalannya yang lain akan berakhir pada 19 Mac.
Kenapa berita ini penting untuk pelabur?
Umum mengetahui, gabenor atau ketua bank pusat adalah individu yang akan menentukan ke mana arah tuju dasar monetari sesuatu negara.
Dengan pelantikan Kazuo Ueda, pelabur mengharapkan perubahan akan berlaku dalam penetapan dasar bank pusat yang kini melaksanakan polisi yang sangat longgar di bawah pentadbiran Kuroda.
Pun begitu, kenyataan terbaru Ueda pada Jumaat lalu telah menimbulkan keresahan pelabur, di mana beliau berpendapat dasar semasa BOJ adalah ‘sesuai’.
Impaknya, mata wang yen didagangkan merosot ke paras terendah 6 minggu berbanding US dolar pada permulaan dagangan minggu ini.
Jika pembaca masih ingat, mata wang yen pernah menjunam ke paras terendah 33 tahun pada Oktober lalu ketika kebanyakan bank pusat utama lain telah menaikkan kadar faedah, sementara BOJ pula terus kekal dengan dasar yang longgar.
Sekiranya benar Ueda juga akan melaksanakan pendirian yang dovish, ia bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ buat pelabur mata wang yen.