Ketiga-tiga indeks saham Amerika Syarikat berjaya menutup dagangan sesi New York dalam wilayah positif, di mana pelabur turut disajikan dengan beberapa penerbitan laporan pendapatan korporat.
Indeks Dow Jones mengakhiri dagangan dengan sedikit meningkat 0.08% kepada 35,438.08, manakala S&P 500 pula menokok 0.28% kepada 4,567.45 dan Nasdaq naik 0.73% kepada 15,561.42.
Ini disokong oleh sentimen pasaran yang positif susulan berita dari China, laporan pendapatan yang lebih baik dan data keyakinan pengguna AS yang kukuh.
Bagaimanapun, pada sesi Asia hari ini dapat dilihat bahawa niaga hadapan pasaran saham AS sedikit suram di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menuju keputusan kadar faedah Federal Reserve (Fed).
Fed dijangkakan secara meluas untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, dan kenyataan susulan daripada Pengerusi Jerome Powell akan dijadikan tumpuan utama.
Dalam pada itu, Microsoft melaporkan keputusan suku keempat fiskal yang lebih baik daripada jangkaan yang dipacu oleh pertumbuhan dalam perniagaan pengkomputeran awannya.
Microsoft mengumumkan pendapatan sesaham $2.69 pada pendapatan $56.2 bilion, lebih baik daripada jangkaan $2.55 pada hasil sebanyak $55.44 bilion.
Sementara itu, Alphabet (GOOGLE) pula melaporkan keputusan suku kedua yang lebih baik dengan pendapatan sesaham $1.44 pada hasil $74.6 bilion berbanding $1..34 pada pendapatan $72.82 bilion.
Saham Microsoft naik 1.7% dan Alphabet pula menokok 0.56% ketika ditutup pada sesi New York. Namun dalam dagangan lanjutan, Microsoft susut 3.76% manakala Alphabet teruskan lonjakan sekitar 6.09%.
Pelabur seterusnya akan menyaksikan pengeluaran laporan pendapatan dari Meta dan Coca-Cola pada hari Rabu.