Pasaran mata wang gagal memberi reaksi ketara susulan penerbitan data inflasi Amerika Syarikat yang menepati jangkaan pada bulan Februari.
Sejajar dengan ramalan pasaran, indeks harga pengguna (CPI) tahunan AS meningkat 6.0% pada bulan lepas daripada 6.4% yang dicatatkan pada Januari.
Ini merupakan bacaan terendah pernah dicatatkan sejak September 2021, selain turut menyaksikan inflasi teras turun kepada 5.5% tahun ke tahun, terlemah sejak Disember 2021.
Secara dasarnya, pelabur masih melihat angka yang dicatatkan tersebut tinggi, namun ia sedikit sebanyak memberi ruang buat Federal Reserve (Fed) melaksanakan kenaikan lebih kecil atau mengekalkannya tidak berubah.
Terdahulu, pelabur meramalkan bank pusat itu akan menaikkan kadar 50 mata asas susulan kenyataan hawkish Pengerusi Jerome Powell minggu lepas, tetapi kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank menyuramkan jangkaan tersebut.
US dolar didagangkan sedikit berubah susulan keluaran data tersebut dengan pelabur masih lagi menilai angka inflasi yang dicatatkan dengan hala tuju Fed akan datang.
Berbanding kebanyakan mata wang utama, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback kekal melemah sekitar harga 103.64.
Keluaran data inflasi pengeluar (PPI) dan jualan runcit AS pada sesi New York hari ini mungkin boleh memberi petunjuk lebih jelas kepada pelabur.
Sementara itu, mata wang euro dan pound kekal berlegar di sekitar paras ketinggian mingguan berbanding dolar greenback pada sesi Asia.
Mata wang berkaitan komoditi pula, dolar Aussie, New Zealand dan Kanada terus bertahan pada keuntungan yang diraih pada awal minggu berikutan kelemahan US dolar.
Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.