“Agaknya lepas ni apa rancangan Musk untuk Twitter ye?”
Setelah sekian lama berdiam diri selepas diperoleh jutawan Elon Musk, platform media sosial Twitter melancarkan ciri baharu digelar “$Cashtags” yang membenarkan para pengguna mencari 30 senarai harga mata wang kripto.
Antara kripto terawal yang dimasukkan dalam “$Cashtags” adalah Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH) dan diikuti dengan Tether (USDT), Ripple (XRP), Binance USD (BUSD), Cardano (ADA), Solana (SOL), Polygon (MATIC), Litecoin (LTC), Dai (DAI), Avalanche (AVAX), Uniswap (UNI), Dogecoin (DOGE) termasuk Shiba Inu (SHIB).
Selain daripada itu, kripto lain yang disertakan ialah Wrapped Bitcoin (WBTC), Ethereum Classic (ETC), Bitcoin Cash (BCH), Stellar (XLM), Internet Computer (ICP), Decentraland (MANA) dan The Sandbox (SAND).
Namun, top 20 kripto mengikut modal pasaran seperti BNB, USD Coin (USDC), OKB, Lido Staked Ether (STETH), Polkadot (DOT) dan Tron (TRX) didapati tidak tergolong dalam ciri Twitter tersebut.
Perkembangan dibuat Musk itu telah memberi keterujaan kepada komuniti DOGE yang menganggap tindakan tersebut akan memberi impak positif terhadap pasaran kripto, di mana sebelum ini juga beliau bergiat aktif dalam pelaburan aset digital.
Dalam pada itu, indeks harga tersebut mengambil datanya daripada TradingView sementara terdapat juga pautan untuk melihat kripto pada platform dagangan dalam talian Robinhood.
Diperjelaskan juga bahawa Musk bermatlamat untuk melancarkan Twitter 2.0 yang membenarkan pembayaran berasaskan kripto di platform media sosial tersebut.