US dolar didagangkan sedikit lebih rendah pada sesi Eropah ketika pasaran kini memberi tumpuan kepada terbitan data-data utama pada malam ini.
Ketika penulisan, indeks dolar diperdagangkan susut pada sekitar harga 103.23 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Terdahulu, mata wang gergasi itu meraih sokongan daripada minit mesyuarat FOMC yang memacunya meningkat lebih tinggi.
Minit daripada mesyuarat Jun menunjukkan bahawa majoriti penggubal dasar menjangkakan pengetatan selanjutnya dalam dasar pengetatan Federal Reserve (Fed).
Ia telah mendorong pengukuhan dalam hasil bon AS 10 tahun untuk membuat kenaikan ke paras tertinggi terbaru empat bulan pada 3.97%.
Pelabur kini dilihat lebih berwaspada menjelang terbitan data pekerjaan ADP sektor swasta Amerika Syarikat, tuntutan pengangguran dan JOLTS pada sesi New York nanti.
Data-data tersebut akan menjadi petunjuk seterusnya kepada data pekerjaan utama NFP AS yang dijadualkan keluar pada hari Jumaat.
Pengunduran US dolar daripada keuntungan terdahulu tampaknya memberi sedikit sokongan untuk euro dan pound kembali didagangkan stabil, namun tidak berdaya membuat kenaikan lebih jauh.
Sementara dolar Aussie dan New Zealand juga cuba untuk memaparkan pemulihan, namun keuntungan yang dicatatkan terbatas.
Kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global ekoran pengetatan yang agresif oleh bank pusat utama tampaknya menjejaskan sentimen terhadap mata wang berisiko.
Ekoran itu, safe-haven yen dilihat mendapat manfaat daripada kebimbangan ini untuk didagangkan lebih kukuh berbanding US dolar dan kebanyakan mata wang utama lain.
Tahap kesihatan ekonomi AS akan dapat dilihat pada data-data yang akan dikeluarkan pada malam ini selepas beberapa siri kenaikan hawkish kadar faedah dilaksanakan.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.