“Macam-macam SEC ni, lepas ni apa pula yang nak dibuatnya.”
Gary Gensler, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengisytiharkan semua mata wang kripto kecuali Bitcoin (BTC) sebagai sekuriti.
SEC sejak kebelakangan ini yang bertindak secara agresif juga didapati ingin memperketatkan lagi kawal selia terhadap pasaran kripto.
Diperjelaskan lebih terperinci, Gensler sungguh percaya transaksi kripto kecuali BTC berada di bawah bidang kuasa SEC susulan memiliki laman web termasuk sekumpulan usahawan yang tubuhkan syarikat undang-undang sendiri.
Umum mengetahui bahawa kenyataan Gensler membawa maksud usahawan yang mempromosikan aset digital mereka adalah sekuriti susulan kebanyakan pelabur akan menjangkakan keuntungan berdasarkan pada kumpulan itu.
Gensler turut berkata pelabur kripto yang berharap untuk menjana keuntungan melalui usaha pengantara itu adalah sangat sinonim dengan pemegang saham dalam syarikat tersenarai awam yang ingin melihat pelaburannya berkembang.
Rentetan itu, beliau sekali lagi menegaskan kripto haruslah termasuk dalam bidang kuasa SEC dan sekuriti.
Pun begitu, peguam kripto popular bernama Jake Chervinsky mengkritik tindakan SEC itu dengan menyebut bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal selia aset digital sehingga ia dapat membuktikan kesnya di mahkamah.
Dalam pada itu, sesetengah penyokong BTC telah mengambil peluang daripada tindakan SEC tersebut untuk mendorong penggunaan BTC agar harganya melonjak lebih tinggi dan digunakan sebagai wang global.