“Kalau pelabur pening dengan kenyataan Powell, pasaran kripto lagi la pening.”
Pasaran mata wang kripto melihat pergerakan turun naik yang bercampur selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell menjawab semua soalan makroekonomi berkaitan Amerika Syarikat (AS) di Kelab Ekonomi Washington awal pagi tadi.
Keseluruhan pasaran kripto dilaporkan lonjak sebanyak 0.66% dengan modal pasaran bernilai $1.08 trilion sementara S&P 500 turut meningkat hampir 0.65%.
Ditambah pula dengan Bitcoin (BTC) canak sebanyak 2.30% mencapai paras harga $23,335 dalam tempoh 24 jam lalu manakala kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) raih sekitar 3.78% melepasi zon $1,684.
Pun begitu, harga BTC, ETH, Ripple (XRP), Solana (SOL), Dogecoin (DOGE), Chainlink (LINK), Shiba Inu (SHIB), Optimisme (OPT), Terra (LUNA) dan Quant (QNT) susut sedikit selepas Powell menamatkan ucapannya.
Pasaran saham juga menyaksikan penurunan apabila Powell berkata bahawa inflasi dijangka akan mengalami penurunan, di mana S&P 500 terjun sebanyak 0.3% dan Komposit Nasdaq rugi sekitar 0.2%.
Powell turut menyatakan kadar faedah boleh meningkat lagi selepas ditanya oleh David Rubenstein, co-founder Carlyle Group berkenaan laporan pekerjaan pada Jumaat lalu yang melihat peningkatan sebanyak 517,000 pada Januari.
Semasa bercakap tentang keadaan semasa negara AS, Powell berpandangan ekonomi negara tersebut masih tidak memberangsangkan tetapi tetap menunjukkan momentum yang kukuh.