Emas terus bergerak mendatar ketika pelabur masih menantikan petunjuk jelas untuk menentukan pergerakan harga seterusnya.
Sesi Asia menyaksikan logam kuning itu kekal berlegar pada sekitar harga yang sama pada $1,876 per auns walaupun berlaku turun naik pada sesi sebelum ini dengan pergerakan yang terbatas.
Pelabur masih cuba menghadam kenyataan terbaru daripada penggubal dasar Federal Reserve (Fed), terutamanya Pengerusi Jerome Powell pada minggu ini.
Setelah petunjuk dovish yang diberikan pada mesyuarat polisi FOMC minggu lalu, Powell pula mengatakan bahawa kadar faedah mungkin akan naik lebih tinggi daripada jangkaan jika data tidak memberikan kerjasama.
Pada dasarnya, Fed dilihat telah beransur ke arah kurang agresif, namun data pekerjaan NFP baru-baru ini memberi sedikit keselesaan buat bank pusat itu untuk mengekalkan kadar faedah yang tinggi.
Malah, beberapa pembuat dasar Fed lain juga dilihat masih terbuka untuk lebih banyak kenaikan walaupun perlu melihat data yang masuk terlebih dahulu.
Pun begitu, harga emas gagal memaparkan perubahan ketara susulan kenyataan tersebut dengan dagangan US dolar dan mata wang utama juga bergerak perlahan merentasi pasaran.