“Menarik betul kaedah yang digunakan petani negara ini, kita pun tak terfikir nak buat macam tu.”
Seorang petani tenusu mengusahakan ladang di County Armagh, Ireland Utara bernama Tom Campbell menemui kaedah digelar pencernaan anaerobik (anaerobic digestion) melalui najis lembu, di mana ia dapat gunakan lebihan tenaga dihasilkan di ladangnya untuk mining Bitcoin (BTC).
Difahamkan bahawa proses tersebut melibatkan pemecahan bahan terbiodegradasi yang akan mewujudkan gas metana untuk menghasilkan elektrik.
Menurut Campbell, lebihan tenaga yang tidak boleh dieksport ke grid akan digunakan untuk mining BTC, di mana ladang beliau menghasilkan sehingga 700 kilowatt keluaran elektrik bersamaan dengan kuasa hampir 12,000 isi rumah.
Secara umumnya, kerajaan Ireland berhasrat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 25% menjelang 2030, namun sektor pertanian di negara itu telah menjadi sebab ia melebihi 35% dengan lembu menjadi sumber utama.
Rentetan itu, pencernaan anaerobik adalah salah satu penyelesaian yang bukan sahaja dapat menjana tenaga elektrik untuk setiap isi rumah di Ireland malah dapat capai sasaran pelepasan gas rumah hijau negara jika 41% ladang menggunakan teknologi itu.
Keputusan Campbell untuk mining BTC agak luar biasa, tetapi ia masuk akal dari perspektif ekonomi susulan miner boleh menggunakan tenaga bersih yang berlebihan apabila permintaan grid rendah dan menjana keuntungan daripada mining aset digital itu.
Pun begitu, sesetengah petani bimbang mereka akan menjadi muflis jika ingin memenuhi sasaran pelepasan gas rumah hijau, namun pendekatan Campbell itu dapat memberi manfaat kepada alam sekitar dan keuntungan petani.