Pemegang majoriti Sapura Energy Holdings Bhd dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menggabungkan dua syarikat tersebut.
Bagaimanapun, perbincangan mengenai cadangan itu masih di peringkat awal, di mana ia adalah salah satu daripada usul pelan penstrukturan semula syarikat Nota Amalan 17 (PN17) Sapura Energy.
Meskipun begitu, sukar untuk meramalkan jika penggabungan tersebut akan berhasil memandangkan pemegang saham utama kedua-dua syarikat itu masih dalam proses memilih peguam.
Malah, menurut sumber, ada juga pihak atasan yang menentang cadangan tersebut, maka terdapat potensi ia tidak akan berlaku.
Secara konteks, Permodalan Nasional Berhad (PNB) merupakan pemegang saham tunggal terbesar dalam Sapura Energy dengan 40% kepentingan.
Sementara MHB pula adalah 65.5% anak syarikat MISC Bhd, di mana Petronas mempunyai kepentingan 51%.
Sapura Energy kini dalam usaha untuk pulih daripada masalah kewangan yang menghimpitnya.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memberikannya lanjutan tiga bulan dari 11 Mac untuk menghentikan tindakan undang-undang daripada pemiutang daripada mengganggu proses penstrukturan semula.