- Powell kecewakan jangkaan pelabur
- USD berlegar di paras terendah 7 bulan
- Pasaran nantikan data inflasi AS
Emas kekal berpegang pada keuntungan yang diraih daripada dolar Amerika yang lemah, apabila tumpuan pelabur beralih kepada terbitan data inflasi Amerika Syarikat.
Menghiasi dagangan sesi Asia, logam kuning itu didagangkan stabil pada $1,872 per auns, kekal di paras tertinggi 8 bulan. Sementara niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,877 per auns.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang berucap pada persidangan bank pusat di Stockholm pada sesi New York, malangnya gagal memberi petunjuk baru mengenai kadar faedah.
Dengan ketiadaan petunjuk baru dari Powell, pelabur kekal berpegang pada jangkaan untuk kenaikan kadar lebih kecil pada mesyuarat polisi Februari sama ada sebanyak 25 mata atau 50 mata asas.
Ini menyebabkan dagangan emas terus mengekalkan keuntungan dengan bergerak mendatar ketika pelabur kini memberi tumpuan kepada keluaran data inflasi AS pada hari Khamis.
US dolar pula terus bergerak suram di paras terlemah 7 bulan seiring dengan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih rendah.