“Mana tahu, mungkin BTC berpotensi tembus $65,000 pada pertengahan 2023.”
Pedagang veteran dan penganalisis terkemuka Peter Brandt memberi ramalannya tentang ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) selepas harganya berjaya menembusi paras $23,765 dalam tempoh 24 jam lalu setelah sekian lama berlegar pada zon $23,000.
Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang bakal mengumumkan keputusan mesyuarat dasar monetari minggu ini tentang kenaikan kadar faedah turut dijangka bakal memberi impak lagi kepada BTC.
Begitu juga syarikat gergasi teknologi seperti Apple, Amazon serta Google yang akan membentangkan laporan pendapatan suku keempat 2022.
Namun, Brandt berpendapat harga aset digital tersebut mampu tergelincir semula dan ini menjadi punca kebanyakan pelabur tidak membelinya lagi sehingga harga BTC berada pada tahap paling rendah.
Pun begitu, beliau sungguh yakin harga BTC mampu melonjak melepasi paras $65,000 pada pertengahan tahun 2023 selepas aset digital itu memecah zon $25,000 dan susut pula pada $19,000.
Sementara penganalisis Crypto Michael van de Poppe dan Credible Crypto turut berpandangan aset digital tersebut akan turun terlebih dahulu sebelum harganya meningkat melebihi $25,000.
Dalam pada itu, data pekerjaan dan inflasi terkini melihat kenaikan kadar lebih rendah walaupun selepas pelabur membuat jangkaan sama ada Fed akan menaikkan 25 mata asas atau 50 mata asas lagi.
Dilaporkan juga bahawa harga BTC akan junam sekiranya Indeks Dolar AS (DXY) menyaksikan kenaikan, di mana setakat ini pergerakannya masih volatile menjelang keputusan kenaikan kadar oleh Fed.